Penyelidikan anak Malaysia diiktiraf Jepun
Oleh Siti Nur Almizan Aripin (Berita Mingguan)
Harun Sarip (dua dari kanan) di Perancis
Digelar Rubber Man oleh rakan industri di negara matahari terbit kerana sumbangan besar dalam bidang polimer DIA digelar Rubber Man atau Orang Getah oleh pelajar dan rakan industri di Jepun bukan kerana kebolehannya melenturkan badan seperti getah tetapi sebagai mengiktiraf pembabitan serta sumbangannya dalam bidang polimer sejak 18 tahun lalu. Semuanya bermula ketika Prof Dr Azanam Shah Hashim, 52, mendapat biasiswa Monbusho untuk melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Kyoto Institute of Technology, Jepun pada 1992.
Beliau yang ketika itu bertugas sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) membuat penyelidikan dalam bidang teknologi getah. Penyelidikan yang dibuat dikategorikan sebagai cemerlang sehingga menarik perhatian beberapa syarikat getah di negara matahari terbit itu. "Saya turut dipanggil untuk membuat persembahan topik berkaitan getah di syarikat getah Jepun. Ia amat membanggakan kerana hasil penyelidikan kita, rakyat Malaysia diterima serta dikategorikan sebagai sangat menarik," katanya. Selepas menamatkan pengajiannya di Kyoto, Dekan Malaysian Institute of Chemical and Bio-Engineering Technology (Micet), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), kampus Alor Gajah, Melaka itu tinggal di Jepun dan bertugas sebagai penyelidik di Sumitomo Rubber Industries, Kobe selama beberapa tahun.
KETIKA berkunjung ke Fakulti Kejuruteraan Kimia, Universiti of Karlsruhe, Jerman.
"Pengalaman di Jepun amat berguna pada saya. Selain memperoleh ilmu, paling tidak dapat dilupakan apabila merasai gegaran gempa bumi Kobe pada 1995. Ketika itu saya berada di Osaka," katanya. Azanam Shah mempunyai pengalaman bertugas sebagai pensyarah di USM dan Micet selama hampir 18 tahun. Bidang penyelidikan utamanya ialah pengubahsuaian kimia getah asli. Beliau juga banyak menghasilkan tulisan dan jurnal berkaitan bidang getah terutama getah asli untuk terbitan dalam dan luar negara. Buku yang dihasilkan Azanam Shah bersama Prof Hanafi Ismail berjudul Pengenalan Penyebatian dan Pemprosesan Getah terbitan USM turut dijadikan rujukan pelajar kursus teknologi getah. "Saya selalu menyertai persidangan dan seminar polimer dalam dan luar negara. Mungkin kerana itulah gelaran Rubberman melekat sehingga kini," katanya.
Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang pengubahsuaian kimia getah asli, Azanam Shah memulakan tugasnya sebagai pengurus pembangunan produk (cat dan penglitup) di sebuah syarikat cat terkemuka di negara ini selepas menamatkan pengajian dalam bidang kimia di Universiti of Denver, Colorado, Amerika Syarikat pada 1983. "Cat sejenis produk berasaskan polimer dalam bentuk basah dan ketika itu minat saya terhadap polimer mula bertunas. Berasakan tugas sebagai pensyarah memudahkan saya untuk menyambung pengajian dan membuat penyelidikan dalam bidang itu, saya memulakan tugas sebagai pensyarah dalam bidang polimer di USM pada 1988. "Kembali dari Jepun, saya mengajar kursus teknologi polimer di UniKL Micet. Pada 2007, saya dilantik sebagai Dekan UniKL Micet sehingga kini," katanya. Azanam Shah berkata, masyarakat sering membuat andaian sinis dan kurang berasas terhadap impak negatif industri polimer kepada alam sekitar. Ada yang beranggapan masalah pencemaran alam berpunca daripada industri plastik dan getah yang semakin pesat berkembang sekitar 20 tahun kebelakangan ini. "Negara luar juga menuding jari kepada negara kita yang menjadi antara negara pengeluar getah asli dunia. Tanpa mereka sedari, pencemaran alam sekitar adalah kesan masalah minda dan perbuatan pengamal industri yang masih pada tahap rendah. "Masyarakat perlu tahu, industri plastik hanyalah kurang lima peratus daripada keseluruhan jumlah industri petroleum di negara ini. Jika kita hentikan industri ini, kita masih tidak dapat menyelesaikan masalah pencemaran," katanya. Katanya, bidang polimer amat luas skopnya yang memerlukan golongan pemikir dan penyelidik bagi menentukan prospek serta hala tuju sesebuah negara. Kerjasama pihak industri dan pakar polimer tempatan berjaya menghasilkan banyak produk berunsurkan getah menggunakan bahan buangan (mineral) yang lebih selamat pada pengguna dan alam sekitar. "Polimer perlu dibincangkan secara kritis. Ia juga unik dan terbahagi kepada dua iaitu industri huluan dan hiliran (upstream dan downstream processing). Industri huluan adalah proses menghasilkan bahan separa siap polimer daripada petroleum mentah yang diproses. "Hasilnya adalah bahan mentah separa siap yang bakal digunakan dalam industri hiliran untuk menghasilkan produk akhir berasaskan plastik. Pada saya, industri ini menjanjikan masa depan yang amat cerah dan prospek pekerjaan yang memerlukan kemahiran khusus. "Kilang berskala dunia menghasilkan produk separa siap (resin) sudah lama dibina di negara ini menjadikan Malaysia sebagai pembekal resin ternama di dunia. Faktor ini menjadikan industri plastik sebagai satu sektor paling dinamik di Malaysia dengan menjanjikan peluang pekerjaan untuk 95,000 orang," katanya.